Isnin, 18 Ogos 2014

suara hati-perbahasan tafsir ayat 284 surah al-baqarah

Suara Hati - Perbahasan tafsir ayat 284, surah Al-Baqarah, Majlis Ta'lim Darul Murtadza 30.11.2012

Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa, KL.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiupv_yEalEp5U758ZvCctbuwI3-0TSMuOL-Y34HYjkMFzZSpLRl3kFC4Jf_8ncEy8qGU9nJaGPYNtYSYACHzNAfJX4r1jTNPoPK8k8j2zh1jR4abeT9LgT_u3BoFTSHIltBAZi081dgMEU/s320/patah-hati.jpg

Rakaman video kuliah ini ada di 
Majlis Ta'lim 30.11.2012 - Tafsir

Ayat 284, surah Al-Baqarah:
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi7phY0OudLUfI56D_ELaFhjEXY_1vG1Xd3CKnLEATBvliouCvfzqzrTKo5JBMF1HU9s9_fT20t0tE9ZEnCBDwyHZWPQf-lug9IPF_jCF-Gilt6ib-0_yBvuqK6Yx1ica2NvoWxH6Y1sMe9/s640/Screen+Shot+2012-12-04+at+9.00.07+AM.png

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah…
Ayat ini dimulakan dengan perkataan – ‘Hanya milik Allah segalanya’ membawa maksud bahawa makhluk lain tidak boleh memiliki apa-apa sekalipun. Walaupun nampak pada zahirnya sesuatu harta itu milik manusia, tetapi hakikatnya pemilikan itu kembali kepada Allah dan harta itu sebenarnya hanyalah dinisbahkan kepada orang tersebut.

Apabila yang memiliki ialah Allah, maka Allah berhak menarik balik atau memberi pada bila-bila masa saja. Oleh sebab itu, seseorang yang mempunyai harta ataupun kuasa boleh dengan serta-merta kehilangan harta/kuasanya itu melalui muflis contohnya. Inilah bukti yang kuasa itu bukan miliknya kerana pada bila-bila masa dia boleh terpisah dengan kuasanya itu. Bahkan manusia juga tidak memiliki hatta nyawanya sendiri. Pada bila-bila masa saja nyawa itu boleh dicabut oleh Allah.

Allah adalah pemilik yang yang mutlak. Hanya Allah yang berkuasa menjadikan seseorang itu memiliki sesuatu. Oleh itu, manusia mesti menyedari hakikat tentang pemilikan ini dan menjaga amanah harta, takhta, keluarga, bahkan anggota badan yang diberi pinjam oleh Allah. Dalam setiap perkara yang ingin dilakukan, manusia seharusnya menilai dahulu adakah perkara yang ingin dilakukan oleh anggota badannya itu sesuai dengan kehendak pemilik hakiki anggota badan tersebut? Sy. Abu Bakar As-Siddiq meletak batu di dalam mulutnya. Apabila ingin mengatakan sesuatu, dia akan mengeluarkan batu itu dan pada masa yang sama dia akan sempat berfikir adakah perkara yang ingin diucapkan itu baik atau tidak. Seandainya tidak baik, beliau akan membiarkan batu itu terus berada dalam mulutnya.

… dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya,…
Pemilikan Allah tak terhenti kepada alam nyata yang nampak dengan mata sahaja, tetapi termasuk juga suara dan isi hati manusia. Sesungguhnya Allah adalah pemilik segala-galanya. Allah adalah pemilik zahir dan batin.

… nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. ...
Perhitungan tentang suara dalam hati – manusia sebenarnya susah untuk mengawal apa yang terlintas dalam hatinya. Dalam alam hati, ada 5 peringkat suara dalam hati sebelum ianya dilafazkan kepada bentuk lisan atau perbuatan.  Sebahagian daripada suara ini akan dihisab(hukum), dan sebahagiannya lagi akan dimaafkan.

Lima peringkat suara di dalam hati ialah:
No.
Nama
Huraian
1
‘Hajis’
-       suara yang datang begitu cepat, dalam sekelip mata saja
-       jika ilham kebaikan, maka datangnya daripada malaikat, sebaliknya bisikan kejahatan pula datang daripada syaitan
-       suara hati ini belum lagi dihukum oleh Allah
2
‘Khatir ‘
-       suara dalam hati yang terlintas secara perlahan-lahan (dalam keadaan sedar dan boleh fokus kepada isi hati itu)
-       suara hati ini belum lagi dihukum oleh Allah
3
‘Hadidun nafsi’
-       suara hati yang terlintas secara berulang-ulang
-       suara hati ini belum lagi dihukum oleh Allah
4
‘Alham’
-       suara hati yang mendorong kepada melakukan sesuatu perkara dan sempat berfikir bagaimana untuk  melakukan perbuatan itu
-       suara hati ini belum lagi dihukum oleh Allah
5
Azam
-       kecenderungan yang kuat untuk melakukan sesuatu, yang diyakini benar, dan diikuti langkah melakukannya, tak kira perbuatan yang baik atau yang jahat
-       peringkat suara hati ini akan dihukum oleh Allah.

Setelah turun ayat ini, sahabat datang kepada Rasul SAW dan memberitahu yang mereka tak mampu untuk mengawal hati dan perasaan mereka sendiri. Suara dalam hati muncul dengan sendirinya, tanpa boleh dikawal.  Nabi SAW lalu mengingatkan kepada mereka,  “Adakah kamu ingin menjadi seperti orang Bani Israel yang apabila menerima perintah Allah berkata - Kami dengar tapi kami tak nak patuh?" Kemudian, barulah mereka mengucapkan “Kami dengar dan kami patuh”. Dengar itu taat dengan telinga, manakala patuh itu taat dengan hati.

Peringkat suara 1-4 tidak akan dikira oleh Allah, tapi sekiranya suara hati sampai pada tahap ‘azam’ (5), ianya akan dihukum oleh Allah, sekalipun suara hati itu dizahirkan atau kekal disembunyi dalam hati. Contoh: Jika seseorang ingin menyakiti seseorang, dan keluar dari rumah untuk melakukannya – langkah yang diambilnya itu sudah dihisab oleh Allah. Jika ‘azam’ tersebut disimpan tanpa dizahirkan secara lisan atau perbuatan, tetapi suara hati itu diyakini benar dan bukan lintasan semata-mata, maka ianya tetap dikira Allah. Tiada percanggahan antara ulama dalam hal ini.

Mengapakah dikatakan suara hati itu diambil kira? Contohnya – perasaan hasad. Bukankah perasaan itu hanya ada di dalam hati?  Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya hasad itu akan memakan ganjaran kebaikan seseorang seperti api membakar kayu”.

Jelas daripada hadis ini menyatakan bahawa hasad ini adalah satu bentuk dosa dalam hati. Allah juga berfirman dalam surah An-Nur, ayat 19:
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhF9Ekfgmt4ay46trXFgCWP6AYL0rR8VckITxa0lh4OfkwhE2TWLU-z9CvG7hA0NML8gASQA3qttKkv7R2xy_SOcakUIsqwvx459tGHKvrrAoxiNywL_13l4p-3IDhWIJLs6WLWzlvviM5b/s640/Screen+Shot+2012-12-04+at+7.32.01+AM.png

Kepada siapa azab pedih ini ditujukan? Kepada orang yang gembira (suka) dengan perbuatan itu – gembira itu ialah perbuatan hati, dan perbuatan itu juga akan dihisab Allah. Seterusnya dalam surah Al-Hujurat, ayat 12, Allah berfirman:
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhE_u-hTbxn7KeJOGN9tMcm5-4RP9Cj0oxv09ejQoA1xKL7y-A9wj6N6FtVCeWk7nwfEptm4CWRWvfVlhpMAEgq-bNrkAGnAvXdBf9AxLjPmoV-tggQTGFL1xUJxks3ZY6N1fb9mg7b1xCD/s640/Screen+Shot+2012-12-04+at+9.08.25+AM.png

Allah menyuruh orang beriman menjauhkan diri daripada prasangka (sangkaan) kerana ianya membawa dosa. Prasangka juga adalah amalan di dalam hati. Seterusnya, Nabi SAW juga pernah bersabda yang bermaksud, "Cukup seseorang itu menjadi jahat dengan ia menghina saudara muslimnya." Sifat menghina juga adalah amalan di dalam hati. Jadi, tiada keraguan lagi bahawa amalan-amalan di dalam hati juga akan dihisab oleh Allah SWT.

Jika lintasan hati itu berlaku tanpa disedari saja yang tidak di ambil kira. Tetapi oleh kerana Allah itu Maha Pemberi Rahmat, lintasan hati yang tidak baik saja yang Allah tidak ambil kira, lintasan hati yang baik akan dihisab sebagai kebaikan walaupun tak mencapai tahap azam. Dalam hadis sahih Muslim, bagindaNabi SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah mencatit semua perbuatan baik dan tak baik. Kemudian diperincikan. Orang yang berazam, mempunyai kecenderungan untuk berbuat baik, tapi perbuatatan baik itu tak dibuat, akan dicatit baginya satu ganjaran sempurna. Tapi kalau ada kecenderungan untuk buat baik dan dilakukan perbuatan itu, Allah mencatit untuknya 10 kebaikan. ...(bersambung) ”

Bagaimana perincian dilakukan? Orang yang berazam dan cenderung untuk buat baik tapi tak dibuat akan diberi 1 ganjaran sempurna. Tapi jika berazam dan cenderung untuk buat baik dan dilakukan kebaikan itu, maka akan diberi ganjaran 10 kebaikan. Adakah ganjaran 10 itu maksimum? Tidak! Minimum 10 ganjaran, tetapi jika kualitinya tinggi, maka boleh dilipatgandakan menjadi 700, bahkan boleh menjadi lebih banyak lagi. Berapa banyak? Dalam surah Al-Baqarah, ayat 261, Allah berfirman yang bermaksud:

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

Allah boleh memberi sebanyak yang dikehendaki-Nya. Kekayaan Allah tidak boleh digambarkan dengan fikiran manusia. Ada seeorang berkata, “Sedikit bagi-Mu Ya Allah, itu bukan sedikit bagiku”. Dalam surah Al-Isra’, ayat 85, Allah berfirman:
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi89IhXYmQRTU4l8dLpT7hIDtXEUChd0KAz8Zmrzna0rP7jAC8HsJ8MF4bFHo5eHr8XgPUrRZCcPbKe8lX3R-o-J3sdhdNyaNHn5XMJn63Ilb71FXhEe1una2bNFhkLYRvu2A3lmw5-hiSR/s640/Screen+Shot+2012-12-04+at+8.04.29+AM.png

Oleh itu, sehingga kini, ilmu tidak akan habis dituntut dan akan sentiasa terbuka rahsia ilmu baru kepada manusia, dengan izin Allah. Nabi Khidir mengatakan kepada Nabi Musa, “Ilmu aku dan ilmu engkau, apabila dicampurkan seumpama setitis air yang diminum seekor burung kecil berbanding ilmu Allah yang seluas lautan”.

Jika sedikit disisi Allah itu banyak di sisi kita, bagaimana pula jika banyak di sisi Allah? Ini sebenarnya sebagai peluang bagi orang-orang beriman untuk meraih ganjaran ini. Inilah ‘big sale’ daripada Allah SWT. Hanya orang yang kedekut kepada dirinya saja yang tidak mahu meraih ganjaran yang ingin diberi Allah SWT.

Sambungan hadis..
“… Kalau ada orang yang berazam, mempunyai kecenderungan untuk berbuat maksiat, tapi perbuatatan itu tak dibuat, akan dicatit baginya satu ganjaran sempurna. Tapi kalau kecenderungan tidak baik itu dilakukan, Allah mencatit untuknya 1 dosa.”

Jika seseorang itu berazam untuk buat jahat, tetapi kemudiannya sedar bahawa perbuatan itu tidak baik, maka Allah beri ganjaran 1 pahala sempurna. Jika dibuat juga perbuatan jahat itu barulah Allah tulis sebagai 1 dosa. Begitulah Rahmat-Nya Allah kepada kita. Oleh sebab itu, baginda Rasulullah SAW berkata, “Tiada orang yang binasa di sisi Allah kecuali mereka yang membinasakan dirinya sendiri”. 

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh8WkCYZAQ132t0WkVSv9u9D3IxP0QeFmDGCBBpNE1PO372AYt-QXRdgQy9-0qkTl5X-5u1IgULVTvnMd8j_0O-yjp5XnXsICGTqlMm-Tkf4-SoSSlTGGC6UOdopqd-qqa0FU8jpgOTdebL/s400/Screen+Shot+2012-12-04+at+9.43.40+AM.png

Dengan tawaran ‘big sale’ sebegini daripada Allah (rujuk rajah di bawah), maka hanya mereka yang bakhil kepada dirinya sahaja yang melepaskan peluang mendapatkan ganjaran ini.
.. Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ada perbezaan antara ulama tentang hukum ayat ini. Sebahagian ulama mengatakan ayat ini dimansuhkan setelah peristiwa sahabat datang kepada Nabi SAW seperti diceritakan diatas, kerana diturunkan pula ayat 285 dan 286 yang meringankan bahawa Allah tidak menghisab apa yang ada dalam hati. Pendapat kedua pula mengatakan ayat tidak dimansuhkan kerana bentuk ayat ini bukanlah ayat perintah atau larangan, tetapi dalam bentuk pemberitahuan (khabar). Jika berita dimansuhkan, maknanya ada kesilapan pada berita itu. Tidak mungkin berita yang datang daripada Allah ada kesilapannya. Oleh itu, ayat ini memberi penjelasan bahawa ada sebahagian suara hati yang akan dihisab dan ada yang tidak, bergantung kepada tahap suara hati tersebut. 


Nota: Dua ayat terakhir surah Al-Baqarah (285 dan 286) mempunyai kedudukan yang tertingi di sisi Allah. Setiap kali Nabi SAW membaca ayat ini, baginda akan tersenyum kerana ayat ini dibawa khas dari bawah Arasy Allah. Bahkan ada riwayat menyatakan yang ayat ini mempunyai keistimewaan as-syifa’ iaitu kesembuhan kepada penyakit, In sha Allah akan dibahaskan tafsir, kelebihan dan fadhilatnya dengan panjang lebar nanti. - Jangan lupa temujanji anda di Masjid Muadz bin Jabal, Jumaat bermula jam 9:30 malam, In sha Allah.

sambungan tafsir al-quran:282

Majlis Ta’lim Darul Murtadza 23.11.2012 - Tafsir ayat 282 bah. 2 dan ayat 283 (Perihal hutang), surah Al-Baqarah
Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa, KL

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjgn9hiod2t1aav8qfy5KV-7G3AXW_wr4-czwtPTwdaZEj02R7d1V2fa8ihUtenVYCqeDKXDgJq4KfxmRbQUv3tV7YeYqXkseVAKJcO45AD_qKYPT4Z1LrkYwI1U2Dk5LZXN22RGSthuHBY/s320/283023_4564325710646_1052256446_n.jpg

Tafsir Al-Quran: sambungan separuh ke -2 ayat 282:
Sedikit ulangkaji daripada perbahasa separuh daripada ayat 282, surah Al-Baqarah sebelum ini:
* Untuk rujukan perbahasan bahagian pertama, sila rujuk di sini.
Ayat ini menceritakan kepentingan untuk mencatit perkara yang berkaitan kewangan yang melibatkan orang lain iaitu ketika berhutang. Di samping itu, ianya juga membahaskan pentingnya seseorang yang mempunyai harta yang lebih memberi hutang kepada orang lain. Ganjarannya adalah lebih besar daripada memberi sedekah walaupun wang hutang itu akan dikembalikan. Orang yang ingin berhutang adalah orang yang betul-betul dalam keadaan tersepit dan amat memerlukan. Mereka berhutang untuk menjaga kehormatannya daripada meminta-minta. Oleh sebab itulah, orang yang menyampaikan hajatnya (yakni dengan memberi hutang) akan mendapat ganjaran yang besar.
Orang yang kedekut jauh daripada Allah, jauh daripada manusia, jauh daripada syurga dan dekat kepada neraka, manakala orang yang pemurah pula dekat kepada Allah, dekat kepada manusia, dekat kepada syurga dan jauh daripada neraka. Keuntungan harta yang dihutang bukanlah semata-mata kepada orang yang menerima hutang, tetapi kembali kepada orang yang memberi hutang juga kerana Memberi hutang adalah untuk melatih diri agar tidak kedekut
Adab semasa berhutang atau jual beli berhutang:
·                     Dicatit oleh penulis yang adil (pihak ketiga)
·                     Mendatangkan saksi yang adil – iaitu orang yang meninggalkan dosa besar dan tidak membuat dosa kecil yang berterusan. Saksi ialah 2 lelaki atau 1 lelaki dan 2 perempuan
Ada 2 pandangan berkaitan hukum mencatiti hutang – ada yang kata wajib tapi majoriti ulama' mengatakan sunat dan transaksi sah tanpanya.
Sambungan perbahasan:
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEikvqj4lHdVvnZVOEO7jGNGqdPORxLKq2qgupd72LU-h9oboS10aDq6tCxHV7uFH3h_NZvr4j0S2c5ymzOrS7gLqeltzJScc1C0mkKjr8LGWfF_t-Y3oMnnbR8sY0tz6xYsRGJmRgXgXhkQ/s640/Screen+Shot+2012-11-26+at+9.47.53+PM.png

..Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya.
Hikmah penulisan bukan hanya untuk melihat kecil-besarnya jumlah, tetapi sebagai menjaga adab yang ditetapkan Allah. Jumlah besar atau kecil itu relatif sebenarnya, oleh sebab itulah syarah memerintahkan agar dicatit dan dibawakan saksi.
Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah..
Mengapa mencatit adalah lebih adil di sisi Allah? Allah akan memperhitungkan segala perbuatan hambanya, hatta perkara yang sebesar biji sawi sekalipun. Oleh itu, Allah memberi hak kepada harta manusia, walaupun satu sen nilainya – akan tetap dihitung. Sebagai tanda sifat adil Allah, Allah menunjukkan agar manusia mencatit hutang yang berlaku antara mereka sebagai bukti.
..dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi..
Catitan akan menjadi bukti kepada pihak yang berhutang, orang yang memberi hutang, penulis, dan juga saksi. Dengan adanya catitan, pemiutang tak boleh meminta lebih daripada yang diberi, orang yang berhutang tak boleh mengingkari jumlah yang diambil, saksi tak boleh mengelak kesaksian yang benar, dan yang menulis juga perlu menulis dengan yang benar.
..dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.
Keraguan boleh timbul jika salah satu pihak terlupa. Oleh itu, saksi dan catitan penulis boleh mengelak terjadinya perbalahan antara orang berhutang dan pemiuatang.
Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli
Dalam jual-beli tunai, tak perlu mencatit, bahkan tidak disunatkan pun untuk mencatit. Kadang-kadang boleh juga didatangan saksi dalam jual-beli tunai, tetapi jika tiada, transaksi tetap sah. Dalam satu kisah, Nabi SAW ada membeli unta daripada seorang Badawi. Setelah Nabi SAW membayar, si Badawi itu mengingkarinya dan mengatakan bahawa Nabi SAW tidak membayarnya dan meminta didatangkan saksi. Seorang sahabat yang bernama Huzaifah berkata, “Ya Rasulullah, aku ingin mengaku menjadi saksi”. Nabi SAW bertanya kepadanya, “Dengan bukti apa kamu menjadi saksi sedangkan kamu tidak hadir semasa transaksi aku bersama si Badawi ini?” Nabi SAW tetap bersifat adil walaupun di saat itu baginda difitnah. Jawab Huzaifah, “Dengan kejujuranmu yang tak pernah berdusta, yang kau diutuskan menjadi Nabi yang tak mungkin akan berdusta. Aku percaya dengan kejujuranmu”. Nabi SAW kemudian berkata, “Syahadahnya Huzaifah ini satu bersamaan dengan dua”.
 dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan...
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgTED336e35ONEVQGyMQP_-HWom6RIScpl7Nw1oSBggk007f7vEnoSOdJ_ontjJchfTeXMB5olXL-2Cyceak74cHrhH3wFL95KAmn93XSfxFNJOmx5t07LZURhK9Cb9DgjphT3p8QbS6rin/s1600/Screen+Shot+2012-11-26+at+9.55.11+PM.png
Potongan ayat ini boleh mempunyai dua cara bacaan kerana huruf 'ro' bersyaddah dan jika dipecahkan kepada dua, ianya boleh dibaca sebagai 'yu do roro' (berbaris atas) atau 'yu do ri ro'(berbaris bawah).
Jika berbaris atas ayat, ini bermakna orang yang berhutang dan pemiutang tidak dibenarkan menyakiti atau memaksa penulis ataupun saksi meninggalkan pekerjaan atau tanggungjawab harian mereka untuk menyelesaikan perselisihan yang wujud antara pemiutang dan orang yang berhutang. Mereka perlu memberi ruang dan masa yang sesuai untuk penulis dan saksi memberikan kerjasama.
Jika berbaris bawah pula membawa makna penulis dan saksi tak boleh menyakiti atau memberi mudarat kepada orang yang berhutang atau pemiutang. Contohnya: tidak mahu menulis hutang atau tidak mahu menjadi saksi. Al-Quran tidak menyatakan baris yang mana satu, jadi kedua-duanya boleh diguna pakai, kerana dalam satu hadis, Nabi SAW melarang mendatangkan bahaya kepada orang lain, biar siapa pun orang itu.
..dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu.
Semua pihak – orang yang berhutang, pemiutang, penulis, dan saksi dilarang menyusahkan antara satu sama lain.
Oleh itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Taqwa akan menjadi sebab Allah memberikan ilmu yang bermanfaat.

Ayat 283, Surah Al-Baqarah:
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEijUTXe-pnYRaABD-hHNk1OhdEDlMqGkGqlDxRmGjOhunuTgQDej_WECo-A6E0oTQhumFJLNIwt74VivfNLS-u1AisanHIdN5mhMFktyeJEGoSh4yF5RVQ8jM0_Ab-Z1hiucMMBIT-hn1Ku/s640/Screen+Shot+2012-11-26+at+9.57.08+PM.png

Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang).
Ketika dalam musafir, mungkin sesorang tidak dapat mencari penulis atau saksi, maka orang yang berhutang boleh memberi barang sebagai gadaian untuk menjamin hutang yang akan diberikan. Al-Quran memberi tiga cara untuk menjaga kepercayaan antara satu sama lain dalam hal hutang-piutang – mencatit, mengadakan saksi dan memberi gadai. Barang gadaian dijadikan jaminan kepada pemiutang kepada wang yang dihutangkan. Syariah begitu teliti menjaga hak orang yang berhutang dan hak orang yang memberi hutang. Barang gadaian mesti berlaku secara langsung dan tidak boleh dilambatkan.
Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian)...
Jika kita percaya kepada orang yang ingin diberi hutang (contohnya antara suami dan isteri, anak dan ibu bapa), maka hendaklah orang yang berhutang itu menyempurnakan bayaran hutang itu, walaupun tiada catitan, saksi atau barang gadaian.Inilah ayat yang menjadikan hukum mencatit, membawa saksi dan memberi gadai adalah sunat. Jika tidak dipercayai, barulah dicatit, didatangkan saksi dan barang gadaian. Pernah berlaku ketika zaman Rasul SAW, bagindal berjumpa satu rombongan dari Ribadah. Mereka tak kenal yang itu adalah Rasulullah SAW. Nabi meminta mereka menjual unta dengan tukaran makanan. Mereka pun bersetujui dan unta pun diberikan kepada Nabi. Setelah Nabi SAW pergi, ada antara mereka yang berasa sangsi dengan kejujuran orang yang mereka tidak kenali itu. Seorang hamba sahaya dalam kalangan mereka kemudiannya berkata, “Tak usah risau. Sesungguhnya aku tak pernah melihat wajah seorang yang seindah dan sejujur yang kamu jualkan unta itu. Dia tidak akan mencelakan atau merugikan ke atas kamu”. Daripada wajah Nabi SAW sudah terpancar kejujurannya. Kemudian Nabi SAW pun datang semula dengan membawa makanan sebagai bayaran unta. Transaksi itu telah berlaku tanpa catitan dan saksi dan adalah sah. Oleh itu, sebagai kesimpulan, catitan boleh dibuat sebagai menjaga hak kedua-dua pihak pemiutang dan orang yang berhutang. Tetapi, jika meyakini kepada orang yang berhutang, maka dibolehkan tidak membuat catitan atau membawa saksi.
.. maka hendaklah orang yang berhutang yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya.
Orang yang berhutang diminta supaya berlaku amanah dan membayar kembali hutang yang diambil. Menerima amanah itu dengan mudah, tetapi kebiasannya susah untuk melaksanakannya. Apabila tiba masa menunaikan tanggungjawab, tidak semua orang mampu melakukannya. Contohnya, jika seseorang itu diamanahkan wang oleh seseorang. Tetapi dalam keadaan tersepit, ada kemungkinan orang yang diamanahkan akan pecah amanah. Allah SWT menawarkan amanah kepada langit, bumi, gunung-ganang untuk menjadi khalifah di bumi. Mereka semuanya enggan dan rela menjadi makhluk yang tiada pilihan kecuali patuh pada perintah Allah. Hanya manusia yang sanggup menerima amanah, namun akhirnya berlaku zalim kerana tidak menunaikan amanah yang diberi. Sebelum menerima amanah, seseorang mesti bersedia terlebih dahulu. Jangan dikaburkan dengan kelebihan yang bakal diterima. Allah akan melihat saat seseorang itu menjalankan tanggungjawabnya.
 dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang disaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Hati orang yang menutup saksi itu berdosa. Oleh sebab itu Allah tidak kata orang itu berdosa, tetapi hatinya yang berdosa, kerana hatilah yang mengarahkan lidahnya dan anggota-anggota lainnya menipu. Sesungguhnya, hati adalah raja kepada manusia.

tafsir al-quran:ayat 282 al-baqarah

Tafsir Quran: Ayat 282 surah Al-Baqarah - Majlis Ta'lim Darul Mutadza 09.11.2012

Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa, KL

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgRi0H_xI8FHdQLGeKkoR5C_PFpRmQ1KTF56QlK5NTv3Mg7LPa9z0KbaGuSr1BUKhyIBGk0smC2myIHr-b6-4_Ytdu_w1JuGhaPSXc_-bC6nCJ0djafbFqYT3PgMlZqBRdJz1oTlUXi0JDv/s320/ha.jpg

Tafsir Quran: Surah Al-Baqarah, ayat 282:
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgLRioN4IAbOrfWPweWJWrDbGDaraGPwXfY3qWsiOK_oAiWxYx_JF2X9Xohr6HsNhyphenhyphenLRriy_5fXgs698QfQafFJv_3sIQjxWWUCPSdOaZalqG9w6f0HbaDmMr1a-DrM4iNbk8wy2SucVM8N/s640/Screen+Shot+2012-11-15+at+2.12.37+PM.png

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiZICO347kxgWTF8kqPYF4o-vmB3T3xngh_I54Vs-9KA3deL0_94QXeh49E5vd-yeaV-YSTo1boFujIVpjzQivwKx8Gtdk_HaPbY9AecaZ-Z68eFx4DW4Al0sVd5N4FvSj4J37lEOllAmri/s640/Screen+Shot+2012-11-15+at+2.13.40+PM.png

Ayat ini merupakan yang terpanjang dalam Al-Quran, yang terkandung di dalam surah terpanjang juga iaitu surah Al-Baqarah. Ayat ini berkaitan hutang. Hutang-piutnag merupakan keperluan hidup manusia  kerana tidak semua orang mempunyai kemampuan memenuhi keperluan hidupnya. Oleh sebab itu, Islam mengambil berat akan hal ini dan mengaturkan agar akad yang berlaku dapat dipantau dari segi syariah. Islam mengatur kehidupan manusia termasuk dalam hal hutang-piutang, dan ekonomi secara amnya. 

Ada beberapa istilah yang digunapakai berkaitan hutang di dalam Al-Quran. Dalam surah Al-Hadid, ayat 11, Allah berfirman:
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgvGy19wNNFnFBgmZArOnQfJyKaWFedfIyoR9bS-SHbQI0nxMAvpTCLyZ9YOfd4vfVH2YwlfOqV-8ZccIBzsJjY5MR6evJSon1oZbfXY7f8UbWU0KkEzGFc-l6-XOgNIrFzTQNqWFqcmAWd/s640/Screen+Shot+2012-11-15+at+11.20.39+AM.png

Hutangan (Pinjaman) yang baik  dalam ayat ini bermaksud hutang daripada harta yang halal, hutang yang tidak membebankan orang yang berhutang, tiada unsur riba dan hutang yang tidak merugikan pemiutang. Allah akan melipatgandakan ganjaran yang banyak kepada orang itu. Dalam erti kata lain - orang-orang yang  membelanjakan harta pada jalan Allah, baik dalam bentuk infak, memberi kepada pusat-pusat kebajikan, membantu orang yang memerlukan, memberi untuk jihad fi sabilillah, semuanya itu merupakan bahagian daripada hutangan yang baik kepada Allah. Walaupun, secara zahirnya kebaikannya diperoleh oleh manusia, namun ianya sebenarnya seakan-akan dia memberi hutang kepada Allah. Allah akan membalas dengan ganjaran yang besar.

Sepertimana perbuatan sedekah yang dikira sebagai hutang kepada Allah akan dibalas dengan ganjaran yang banyak, orang yang bersedia memberi hutang kepada orang lain juga akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah Ta’ala. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Tiada ada seorang hamba yang menghutangi kepada orang lain 2 kali melainkan ganjarannya lebih daripada sedekahnya”.

Hutang menjadi lebih besar ganjarannya kerana beberapa sebab:
Jika orang bersedekah, kebiasannya akan mengikut keikhlasan orang yang memberi dan jumlahnya kecil berbanding harta yang dimiliki pemberi sedekah. Tetapi dalam berhutang, orang biasanya memerlukan jumlah yang besar yang tidak dapat ditampung melalui pemberian sedekah. Contohnya mungkin seseorang memerlukan modal atau wang untuk nafkah keluargnya. Oleh kerana jumlah hutang biasanya besar, ianya menjadi cabaran kepada pemiutang untuk mengeluarkan hartanya kerana sifat semulajadi manusia memang sayang kepada hartanya. Semakin berat cabaran untuk melakukan sesuatu kebajikan, maka semakin besarlah ganjaran yang diberi Allah. Oleh sebab itulah, ganjaran memberi hutang lebih besar daripada sedekah.

Ketika Israk Mikraj – Nabi SAW masuk ke dalam syurga dan melihat ganjaran orang yang bersedekah ialah 10 kali ganda, sedangkan orang yang berhutang mendapat 18 kali ganda. Nabi SAW lalu bertanya kepada Jibril, “Ya Jibril, kenapa ganjaran orang yang menghutangi lebih besar?” Kata Jibril, “Orang yang meminta sedekah itu terkadang dia mempunyai sesuatu tetapi orang yang ingin berhutang biasanya kerana dia tidak mempunyai apa-apa.” Ertinya orang yang berhutang biasanya dalam keadaan darurat dan betul-betul sempit, oleh sebab itulah apabila dipenuhi hajatnya, Allah akan memberi ganjaran yang lebih besar berbanding perbuatan sedekah.

Orang yang meminta tidak berniat untuk memulangkan, sebaliknya orang yang berhutang adalah lebih mulia kerana mereka tidak membebankan orang untuk memberi melainkan akan dikembalikan semula haknya setelah satu tempoh yang dipersetujui. Di antara fadhilat orang yang memenuhi hajat orang lain ialah Allah akan menunaikan hajatnya juga.“Barangsiapa yang selalu meringankan (memenuhi) hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajat dan keperluannya pula”.

Perbahasan ayat 282:
Wahai orang-orang yang beriman!
Ayat ini merupakan seruan yang membawa perintah yang hukumnya sama ada sunat atau wajib.

Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang-piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu...
Hutang-piutang boleh berbentuk duit atau dalam bentuk jual/beli barang yang tertangguh bayarannya atau serahan barangnya. Contohnya, perniagaan yang melibatkan barang yang belum cukup sifatnya seperti rumah yang belum siap dibina, atau petani yang memohon pinjaman untuk mengusahakan ladangnya yang bakal berbuah.

... maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu...
ini merupakan ayat bentuk perintah sama ada wajib atau sunnah. Segelintir ulama mengatakan hukumnya wajib untuk menulis hutang, namun majoriti ulama mengatakan hukumnya sunat untuk ditulis hutang. Jika ditulis, manfaat surat hutang itu dapat kepada siapa? Adakah kepada pemiutang sebagai bukti untuk menuntut hutang? SALAH. Sebenarnya tulisan itu adalah sebagai perlindungan kepada orang yang berhutang keseluruhannya. Tanpa catitan, berkemungkinan besar orang berhutang  lari daripada tanggungjawabnya membayar hutang. Dengan itu, orang lain yang ingin berhutang  atau sedang menunggu untuk berhutang  akan dinafikan haknya oleh orang yang kaya. Seterusnya terdapat kelebihannya kepada kedua-dua pihak juga iaitu apabila salah seorang meninggal dunia. Dengan adanya catitan hutang, maka waris boleh menuntut hutang atau membayar hutang agar si mati tidak terseksa kerana dosa hutang yang belum berbayar. 

... dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)...
Siapa yang layak menulis hutang? Penulis mestilah bukan daripada orang yang berhutang ataupun orang yang memberi hutang. Penulis mesti menulis dengan adil yang bermaksud menulis jumlah yang dihutangi dan tempoh bayaran dengan jelas dan benar.

... dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.
Kenapa dikatakan “jangan enggan”? Kerana pada zaman Rasulullah SAW, tidak ramai orang yang pandai menulis. Manfaat ilmu yang dikurniakan Allah itu bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi  perlu juga digunakan untuk membantu orang lain.

Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas) dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu.
Siapakah yang sewajarnya mengarang isi surat hutang? Pemiutang atau orang berhutang? Di dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa isi surat hutang haruslah mengikut kata orang yang berhutang. Apakah kelebihannya? Jika mengikut bahasa pemiutang sudah tentulah pemiutang mahu tempoh bayaran disegerakan dan dalam keadaan terdesak, orang berhutang mungkin terpaksa akur dengan permintaan tersebut walaupun dirinya terbeban. Oleh sebab itulah, Allah nyatakan di sini dengan begitu terperinci sekali bahawa orang yang berhutanglah yang perlu mengarang isi surat itu.

Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil (benar)...
Kadang-kadang orang yang berhutang itu adalah orang yang tidak memenuhi syarat seperti orang ‘sabian’ – orang yang tak pandai menguruskan duit, kanak-kanak atau orang tua yang dikhuatiri tidak dapat membayar semula, maka walinya perlu menjadi pengarang surat hutang tersebut. Begitulah terperincinya Islam mengatur perkara berkaitan hutang-piutang.

... dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, samada kecil atau besar jumlahnya.
Setelah ada seorang penulis, Allah minta dibawa 2 orang saksi. Mengapa Allah minta tambahan saksi sedangkan sudah ada tulisan? Tujuannya adalah untuk menguatkan hujah jika berlaku penipuan dalam kalangan saksi ataupun tulisan. Ciri-ciri saksi yang diterima adalah:
·                     Islam
·                     Merdeka, tidak hamba
·                     Berakal, tidak gila
·                     Baligh
·                     Adil – bermaksud tidak banyak melakukan dosa kecil secara berterusan dan meninggalkan dosa besar
Saksi tidak boleh orang sembarangan sahaja. Saksi mesti mempunyai agama dan akhlak yang bagus. Saksi juga tidak boleh seorang yang ada masalah dengan orang berhutang atau pemiutang.

Ayat selebihnya akan dibincangkan pada kelas akan datang, InsyaAllah. Sebagai kesimpulan:
Isi penting daripada ayat 282, surah Al-Baqarah:
1.            Sunat untuk menulis perjanjian dalam hutang-piutang.
2.            Penulis hutang mestilah bukan orang berhutang atau pemiutang.
3.            Penulis mesti menulis dengan jujur.
4.            Isi kandungan surat hutang mestilah mengikut bahasa orang yang berhutang.
5.            Jika orang lemah/tidak mampu menguruskan wang ingin berhutang, walinya perlu menjadi penjamin.
Dua orang saksi perlu didatangkan di dalam akad hutang-piutang