Tafsir
Quran: Ayat 282 surah Al-Baqarah - Majlis Ta'lim Darul Mutadza 09.11.2012
Habib Ali Zaenal
Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Muadz Bin
Jabal, Setiawangsa, KL
Tafsir
Quran: Surah Al-Baqarah, ayat 282:
Ayat ini merupakan
yang terpanjang dalam Al-Quran, yang terkandung di dalam surah terpanjang juga
iaitu surah Al-Baqarah. Ayat ini berkaitan hutang. Hutang-piutnag
merupakan keperluan hidup manusia kerana tidak semua orang mempunyai
kemampuan memenuhi keperluan hidupnya. Oleh sebab itu, Islam mengambil berat
akan hal ini dan mengaturkan agar akad yang berlaku dapat dipantau dari segi
syariah. Islam mengatur kehidupan manusia termasuk dalam hal hutang-piutang,
dan ekonomi secara amnya.
Ada beberapa istilah
yang digunapakai berkaitan hutang di dalam Al-Quran. Dalam surah Al-Hadid, ayat
11, Allah berfirman:
Hutangan (Pinjaman)
yang baik dalam ayat ini bermaksud hutang daripada harta yang halal,
hutang yang tidak membebankan orang yang berhutang, tiada unsur riba dan hutang
yang tidak merugikan pemiutang. Allah akan melipatgandakan ganjaran yang
banyak kepada orang itu. Dalam erti kata lain - orang-orang yang
membelanjakan harta pada jalan Allah, baik dalam bentuk infak, memberi
kepada pusat-pusat kebajikan, membantu orang yang memerlukan, memberi untuk
jihad fi sabilillah, semuanya itu merupakan bahagian daripada hutangan yang
baik kepada Allah. Walaupun, secara zahirnya kebaikannya diperoleh oleh
manusia, namun ianya sebenarnya seakan-akan dia memberi hutang kepada Allah.
Allah akan membalas dengan ganjaran yang besar.
Sepertimana perbuatan
sedekah yang dikira sebagai hutang kepada Allah akan dibalas dengan ganjaran
yang banyak, orang yang bersedia memberi hutang kepada orang lain juga akan
mendapat ganjaran yang besar disisi Allah Ta’ala. Nabi SAW bersabda yang
bermaksud:
“Tiada ada seorang
hamba yang menghutangi kepada orang lain 2 kali melainkan ganjarannya lebih
daripada sedekahnya”.
Hutang menjadi lebih
besar ganjarannya kerana beberapa sebab:
Jika orang bersedekah,
kebiasannya akan mengikut keikhlasan orang yang memberi dan jumlahnya kecil
berbanding harta yang dimiliki pemberi sedekah. Tetapi dalam berhutang, orang
biasanya memerlukan jumlah yang besar yang tidak dapat ditampung melalui
pemberian sedekah. Contohnya mungkin seseorang memerlukan modal atau wang untuk
nafkah keluargnya. Oleh kerana jumlah hutang biasanya besar, ianya menjadi
cabaran kepada pemiutang untuk mengeluarkan hartanya kerana sifat semulajadi
manusia memang sayang kepada hartanya. Semakin berat cabaran untuk melakukan
sesuatu kebajikan, maka semakin besarlah ganjaran yang diberi Allah. Oleh sebab
itulah, ganjaran memberi hutang lebih besar daripada sedekah.
Ketika Israk Mikraj –
Nabi SAW masuk ke dalam syurga dan melihat ganjaran orang yang bersedekah ialah
10 kali ganda, sedangkan orang yang berhutang mendapat 18 kali ganda. Nabi SAW
lalu bertanya kepada Jibril, “Ya Jibril, kenapa ganjaran orang yang menghutangi
lebih besar?” Kata Jibril, “Orang yang meminta sedekah itu terkadang dia
mempunyai sesuatu tetapi orang yang ingin berhutang biasanya kerana dia tidak
mempunyai apa-apa.” Ertinya orang yang berhutang biasanya dalam keadaan darurat
dan betul-betul sempit, oleh sebab itulah apabila dipenuhi hajatnya, Allah akan
memberi ganjaran yang lebih besar berbanding perbuatan sedekah.
Orang yang meminta
tidak berniat untuk memulangkan, sebaliknya orang yang berhutang adalah lebih
mulia kerana mereka tidak membebankan orang untuk memberi melainkan akan
dikembalikan semula haknya setelah satu tempoh yang dipersetujui. Di
antara fadhilat orang yang memenuhi hajat orang lain ialah Allah akan
menunaikan hajatnya juga.“Barangsiapa yang selalu meringankan (memenuhi)
hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajat dan keperluannya pula”.
Perbahasan ayat 282:
Wahai orang-orang yang
beriman!
Ayat ini merupakan
seruan yang membawa perintah yang hukumnya sama ada sunat atau wajib.
Apabila kamu
menjalankan sesuatu urusan dengan hutang-piutang yang diberi tempoh hingga ke
suatu masa yang tertentu...
Hutang-piutang boleh
berbentuk duit atau dalam bentuk jual/beli barang yang tertangguh bayarannya
atau serahan barangnya. Contohnya, perniagaan yang melibatkan barang yang belum
cukup sifatnya seperti rumah yang belum siap dibina, atau petani yang memohon
pinjaman untuk mengusahakan ladangnya yang bakal berbuah.
... maka hendaklah
kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu...
ini merupakan ayat
bentuk perintah sama ada wajib atau sunnah. Segelintir ulama mengatakan
hukumnya wajib untuk menulis hutang, namun majoriti ulama mengatakan hukumnya
sunat untuk ditulis hutang. Jika ditulis, manfaat surat hutang itu dapat
kepada siapa? Adakah kepada pemiutang sebagai bukti untuk menuntut hutang?
SALAH. Sebenarnya tulisan itu adalah sebagai perlindungan kepada orang yang
berhutang keseluruhannya. Tanpa catitan, berkemungkinan besar orang
berhutang lari daripada tanggungjawabnya membayar hutang. Dengan itu,
orang lain yang ingin berhutang atau sedang menunggu untuk berhutang
akan dinafikan haknya oleh orang yang kaya. Seterusnya terdapat
kelebihannya kepada kedua-dua pihak juga iaitu apabila salah seorang meninggal
dunia. Dengan adanya catitan hutang, maka waris boleh menuntut hutang atau
membayar hutang agar si mati tidak terseksa kerana dosa hutang yang belum
berbayar.
... dan hendaklah
seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)...
Siapa yang layak
menulis hutang? Penulis mestilah bukan daripada orang yang berhutang ataupun
orang yang memberi hutang. Penulis mesti menulis dengan adil yang bermaksud
menulis jumlah yang dihutangi dan tempoh bayaran dengan jelas dan benar.
... dan janganlah
seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.
Kenapa dikatakan
“jangan enggan”? Kerana pada zaman Rasulullah SAW, tidak ramai orang yang
pandai menulis. Manfaat ilmu yang dikurniakan Allah itu bukan sekadar untuk
diri sendiri tetapi perlu juga digunakan untuk membantu orang lain.
Oleh itu, hendaklah
dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat
hutang itu dengan jelas) dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya dan
janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu.
Siapakah yang
sewajarnya mengarang isi surat hutang? Pemiutang atau orang berhutang? Di dalam
ayat ini Allah nyatakan bahawa isi surat hutang haruslah mengikut kata orang
yang berhutang. Apakah kelebihannya? Jika mengikut bahasa pemiutang sudah
tentulah pemiutang mahu tempoh bayaran disegerakan dan dalam keadaan terdesak,
orang berhutang mungkin terpaksa akur dengan permintaan tersebut walaupun
dirinya terbeban. Oleh sebab itulah, Allah nyatakan di sini dengan begitu
terperinci sekali bahawa orang yang berhutanglah yang perlu mengarang isi surat
itu.
Kemudian jika orang
yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak
merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil
(benar)...
Kadang-kadang orang
yang berhutang itu adalah orang yang tidak memenuhi syarat seperti orang
‘sabian’ – orang yang tak pandai menguruskan duit, kanak-kanak atau orang tua
yang dikhuatiri tidak dapat membayar semula, maka walinya perlu menjadi
pengarang surat hutang tersebut. Begitulah terperincinya Islam mengatur perkara
berkaitan hutang-piutang.
... dan hendaklah kamu
mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada
saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan
dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa
dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang
seorang lagi dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil
menjadi saksi dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh
masanya itu, samada kecil atau besar jumlahnya.
Setelah ada seorang
penulis, Allah minta dibawa 2 orang saksi. Mengapa Allah minta tambahan saksi
sedangkan sudah ada tulisan? Tujuannya adalah untuk menguatkan hujah jika
berlaku penipuan dalam kalangan saksi ataupun tulisan. Ciri-ciri saksi
yang diterima adalah:
·
Islam
·
Merdeka, tidak hamba
·
Berakal, tidak gila
·
Baligh
·
Adil – bermaksud tidak
banyak melakukan dosa kecil secara berterusan dan meninggalkan dosa besar
Saksi tidak boleh
orang sembarangan sahaja. Saksi mesti mempunyai agama dan akhlak yang bagus.
Saksi juga tidak boleh seorang yang ada masalah dengan orang berhutang atau
pemiutang.
Ayat selebihnya akan
dibincangkan pada kelas akan datang, InsyaAllah. Sebagai kesimpulan:
Isi penting daripada
ayat 282, surah Al-Baqarah:
1.
Sunat untuk menulis
perjanjian dalam hutang-piutang.
2.
Penulis hutang
mestilah bukan orang berhutang atau pemiutang.
3.
Penulis mesti menulis
dengan jujur.
4.
Isi kandungan surat
hutang mestilah mengikut bahasa orang yang berhutang.
5.
Jika orang lemah/tidak
mampu menguruskan wang ingin berhutang, walinya perlu menjadi penjamin.
Dua orang saksi perlu didatangkan
di dalam akad hutang-piutang




Tiada ulasan:
Catat Ulasan