Majlis Ta’lim Darul
Murtadza 23.11.2012 - Tafsir ayat 282 bah. 2 dan ayat 283 (Perihal hutang),
surah Al-Baqarah
Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid
Masjid Muadz Bin
Jabal, Setiawangsa, KL
Tafsir Al-Quran: sambungan separuh ke -2 ayat
282:
Sedikit ulangkaji daripada perbahasa separuh
daripada ayat 282, surah Al-Baqarah sebelum ini:
Ayat ini menceritakan kepentingan untuk mencatit
perkara yang berkaitan kewangan yang melibatkan orang lain iaitu ketika
berhutang. Di samping itu, ianya juga membahaskan pentingnya seseorang yang
mempunyai harta yang lebih memberi hutang kepada orang lain. Ganjarannya adalah
lebih besar daripada memberi sedekah walaupun wang hutang itu akan
dikembalikan. Orang yang ingin berhutang adalah orang yang betul-betul dalam
keadaan tersepit dan amat memerlukan. Mereka berhutang untuk menjaga
kehormatannya daripada meminta-minta. Oleh sebab itulah, orang yang
menyampaikan hajatnya (yakni dengan memberi hutang) akan mendapat ganjaran yang
besar.
Orang yang kedekut jauh daripada Allah, jauh
daripada manusia, jauh daripada syurga dan dekat kepada neraka, manakala orang
yang pemurah pula dekat kepada Allah, dekat kepada manusia, dekat kepada syurga
dan jauh daripada neraka. Keuntungan harta yang dihutang bukanlah semata-mata
kepada orang yang menerima hutang, tetapi kembali kepada orang yang memberi
hutang juga kerana Memberi hutang adalah untuk melatih diri agar tidak kedekut
Adab semasa berhutang atau jual beli berhutang:
·
Dicatit oleh penulis
yang adil (pihak ketiga)
·
Mendatangkan saksi
yang adil – iaitu orang yang meninggalkan dosa besar dan tidak membuat dosa
kecil yang berterusan. Saksi ialah 2 lelaki atau 1 lelaki dan 2 perempuan
Ada 2 pandangan berkaitan hukum mencatiti hutang
– ada yang kata wajib tapi majoriti ulama' mengatakan sunat dan transaksi sah
tanpanya.
Sambungan perbahasan:
..Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang
yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya.
Hikmah penulisan bukan hanya untuk melihat
kecil-besarnya jumlah, tetapi sebagai menjaga adab yang ditetapkan Allah.
Jumlah besar atau kecil itu relatif sebenarnya, oleh sebab itulah syarah
memerintahkan agar dicatit dan dibawakan saksi.
Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah..
Mengapa mencatit adalah lebih adil di sisi
Allah? Allah akan memperhitungkan segala perbuatan hambanya, hatta perkara yang
sebesar biji sawi sekalipun. Oleh itu, Allah memberi hak kepada harta manusia,
walaupun satu sen nilainya – akan tetap dihitung. Sebagai tanda sifat adil
Allah, Allah menunjukkan agar manusia mencatit hutang yang berlaku antara
mereka sebagai bukti.
..dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan
saksi..
Catitan akan menjadi bukti kepada pihak yang
berhutang, orang yang memberi hutang, penulis, dan juga saksi. Dengan adanya
catitan, pemiutang tak boleh meminta lebih daripada yang diberi, orang yang
berhutang tak boleh mengingkari jumlah yang diambil, saksi tak boleh mengelak
kesaksian yang benar, dan yang menulis juga perlu menulis dengan yang benar.
..dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan
keraguan kamu.
Keraguan boleh timbul jika salah satu pihak
terlupa. Oleh itu, saksi dan catitan penulis boleh mengelak terjadinya
perbalahan antara orang berhutang dan pemiuatang.
Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai
yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak
menulisnya dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli
Dalam jual-beli tunai, tak perlu mencatit,
bahkan tidak disunatkan pun untuk mencatit. Kadang-kadang boleh juga didatangan
saksi dalam jual-beli tunai, tetapi jika tiada, transaksi tetap sah. Dalam satu
kisah, Nabi SAW ada membeli unta daripada seorang Badawi. Setelah Nabi SAW
membayar, si Badawi itu mengingkarinya dan mengatakan bahawa Nabi SAW tidak
membayarnya dan meminta didatangkan saksi. Seorang sahabat yang bernama
Huzaifah berkata, “Ya Rasulullah, aku ingin mengaku menjadi saksi”. Nabi SAW
bertanya kepadanya, “Dengan bukti apa kamu menjadi saksi sedangkan kamu tidak
hadir semasa transaksi aku bersama si Badawi ini?” Nabi SAW tetap bersifat adil
walaupun di saat itu baginda difitnah. Jawab Huzaifah, “Dengan kejujuranmu yang
tak pernah berdusta, yang kau diutuskan menjadi Nabi yang tak mungkin akan
berdusta. Aku percaya dengan kejujuranmu”. Nabi SAW kemudian berkata,
“Syahadahnya Huzaifah ini satu bersamaan dengan dua”.
… dan janganlah mana-mana
jurutulis dan saksi itu disusahkan...
Potongan ayat ini boleh mempunyai dua cara
bacaan kerana huruf 'ro' bersyaddah dan jika dipecahkan kepada dua, ianya boleh
dibaca sebagai 'yu do roro' (berbaris atas) atau 'yu do ri ro'(berbaris bawah).
Jika berbaris atas ayat, ini bermakna orang yang
berhutang dan pemiutang tidak dibenarkan menyakiti atau memaksa penulis ataupun
saksi meninggalkan pekerjaan atau tanggungjawab harian mereka untuk
menyelesaikan perselisihan yang wujud antara pemiutang dan orang yang
berhutang. Mereka perlu memberi ruang dan masa yang sesuai untuk penulis dan
saksi memberikan kerjasama.
Jika berbaris bawah pula membawa makna penulis
dan saksi tak boleh menyakiti atau memberi mudarat kepada orang yang berhutang
atau pemiutang. Contohnya: tidak mahu menulis hutang atau tidak mahu menjadi
saksi. Al-Quran tidak menyatakan baris yang mana satu, jadi kedua-duanya boleh
diguna pakai, kerana dalam satu hadis, Nabi SAW melarang mendatangkan bahaya
kepada orang lain, biar siapa pun orang itu.
..dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang
itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada
pada kamu.
Semua pihak – orang yang berhutang, pemiutang,
penulis, dan saksi dilarang menyusahkan antara satu sama lain.
Oleh itu hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan
(ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu dan Allah sentiasa
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Taqwa akan menjadi sebab Allah memberikan ilmu
yang bermanfaat.
Ayat 283, Surah Al-Baqarah:
Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu
berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati
jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang
yang memberi hutang).
Ketika dalam musafir, mungkin sesorang tidak
dapat mencari penulis atau saksi, maka orang yang berhutang boleh memberi
barang sebagai gadaian untuk menjamin hutang yang akan diberikan.
Al-Quran memberi tiga
cara untuk menjaga kepercayaan antara satu sama lain dalam hal hutang-piutang –
mencatit, mengadakan saksi dan memberi gadai. Barang gadaian dijadikan jaminan
kepada pemiutang kepada wang yang dihutangkan. Syariah begitu teliti menjaga
hak orang yang berhutang dan hak orang yang memberi hutang. Barang gadaian
mesti berlaku secara langsung dan tidak boleh dilambatkan.
Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada
yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian)...
Jika kita percaya kepada orang yang ingin diberi
hutang (contohnya antara suami dan isteri, anak dan ibu bapa), maka hendaklah
orang yang berhutang itu menyempurnakan bayaran hutang itu, walaupun tiada
catitan, saksi atau barang gadaian.Inilah ayat yang menjadikan hukum mencatit,
membawa saksi dan memberi gadai adalah sunat. Jika tidak dipercayai, barulah
dicatit, didatangkan saksi dan barang gadaian. Pernah berlaku ketika zaman
Rasul SAW, bagindal berjumpa satu rombongan dari Ribadah. Mereka tak kenal yang
itu adalah Rasulullah SAW. Nabi meminta mereka menjual unta dengan tukaran
makanan. Mereka pun bersetujui dan unta pun diberikan kepada Nabi. Setelah Nabi
SAW pergi, ada antara mereka yang berasa sangsi dengan kejujuran orang yang
mereka tidak kenali itu. Seorang hamba sahaya dalam kalangan mereka kemudiannya
berkata, “Tak usah risau. Sesungguhnya aku tak pernah melihat wajah seorang
yang seindah dan sejujur yang kamu jualkan unta itu. Dia tidak akan mencelakan
atau merugikan ke atas kamu”. Daripada wajah Nabi SAW sudah terpancar
kejujurannya. Kemudian Nabi SAW pun datang semula dengan membawa makanan
sebagai bayaran unta. Transaksi itu telah berlaku tanpa catitan dan saksi dan
adalah sah. Oleh itu, sebagai kesimpulan, catitan boleh dibuat sebagai menjaga
hak kedua-dua pihak pemiutang dan orang yang berhutang. Tetapi, jika meyakini
kepada orang yang berhutang, maka dibolehkan tidak membuat catitan atau membawa
saksi.
.. maka hendaklah orang yang berhutang yang
dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya dan
hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya.
Orang yang berhutang diminta supaya berlaku
amanah dan membayar kembali hutang yang diambil. Menerima amanah itu dengan
mudah, tetapi kebiasannya susah untuk melaksanakannya. Apabila tiba masa
menunaikan tanggungjawab, tidak semua orang mampu melakukannya. Contohnya, jika
seseorang itu diamanahkan wang oleh seseorang. Tetapi dalam keadaan tersepit,
ada kemungkinan orang yang diamanahkan akan pecah amanah. Allah SWT menawarkan
amanah kepada langit, bumi, gunung-ganang untuk menjadi khalifah di bumi. Mereka
semuanya enggan dan rela menjadi makhluk yang tiada pilihan kecuali patuh pada
perintah Allah. Hanya manusia yang sanggup menerima amanah, namun akhirnya
berlaku zalim kerana tidak menunaikan amanah yang diberi. Sebelum menerima amanah, seseorang mesti
bersedia terlebih dahulu. Jangan dikaburkan dengan kelebihan yang bakal
diterima. Allah akan melihat saat seseorang itu menjalankan tanggungjawabnya.
… dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi)
menyembunyikan perkara yang disaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya,
maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah
sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Hati orang yang menutup saksi itu berdosa. Oleh
sebab itu Allah tidak kata orang itu berdosa, tetapi hatinya yang berdosa,
kerana hatilah yang mengarahkan lidahnya dan anggota-anggota lainnya menipu.
Sesungguhnya, hati adalah raja kepada manusia.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan